Friday, August 28, 2015

Ikan Stim Lemon berkuah Asam Boi



Dulu saya selalu bersangka bahawa masak stim ni amatlah leceh , yerlah nak beli pengukuslah nak rebus lah semua kena ada bagi saya sangat leceh . Tapi tidak kini , malah sekarang 3 4 kali seminggu kena masak menu ni dah jadi macam rutin pula . Saya olah ke resepi saya sendiri , sebab saya sebenarnya tidak suka sangat makan ikan stim / ayam stim bau dia kekadang buat saya mual bila tak kena cara masakkan. Alhamdulilah , disebabkan resipi ini anak teruna saya yang dahulunya tidak pandai menjamah ikan kini hari hari inginkan menu ini sebagai makan malam mahupun tengahari . Semoga resipi ini bermanfaat buat semua .

BAHAN - BAHAN DIPERLUKAN : -
Seekor ikan ( ikan apa sahaja asalkan sesuai di masak stim )
Limau kasturi 3 / 4 biji atau 2 biji lemon
Cili padi dihiris nipis (jika tak mahu pedas boleh abaikan)
Daun Limau
1 batang Serai
Bawang Besar 1 biji
Bawang putih 4 ulas
Bawang merah 2 ulas
Halia
Kicap cair
Sos Ikan
Sos Tiram
Secukup rasa maggi
Sesoning oil Maggi
2 sudu kecil gula
Asam Boi
Semangkuk air masak
Daun saderi
Daun Bawang
Minyak Bijan

** Jika Suka boleh letak sekali **
Tomato
Carrot
Lada Banggala
Sayur Sawi

CARA - CARA MEMASAK : -

1. Basuh ikan , lumurkan secukup rasa maggi dan sos tiram ke seluruh ikan tadi . Biarkan selama 3 minit . Adryna suka buat mcm ni supaya ikan tersebut tidak terasa hanyir semasa makan .

2. Sementara itu sediakan periuk ajaib atau periuk pengukus . Adryna lebih suka guna periuk ajaib sebab bila guna periuk ni adryna tak perlu guna aluminum foil atau sediakan air rebusan stim semua tu . Adryna cuma tutup dan ianya seperti pressure cooker sangat cepat dimasak berbanding stimer manual . Periuk Ajaib juga sangat serba guna kita boleh memanggang , stim , goreng , rebus , malah buat pizza dan cake juga boleh , amatlah berbaloi jika ada di dapur kita .

3. Sementara itu , potonglah bawang bawang dan daun daun di atas . Susunkan ikan di periuk ajaib dan taburkan bawang bawang yang dihiris tadi. Anda bolehlah letak lemon di bawah ikan dan di atas ikan agar ikan lebih wangi dan daun bawang serta daun saderi tersebut sumbatkan ke dlm perut ikan . (Jika mengunakan pengukus biasa sediakan aluminum foil dan balut ikan tersebut semasa mengukus .

4. Kemudian , sediakan mangkuk . Campurkan air dengan kicap cair , sos tiram , gula , sesoning oil , sedikit lagi secukup rasa maggi dan perahan air lemon / air limau kasturi . Jika anda inginkan lebih kuah banyakkan air jika ingin pekat kurangkan air. Setelah selesai , tuangkan air tadi ke atas ikan disusuli biji asam boi dan sedikit minyak bijan di serata ikan

5. Jika anda suka , boleh campurka sayur- sayurkan kesukaan anda sebagai penambah selera anda .

6. Untuk periuk ajaib : Hanya Tutup dan Kukus bersama sama dengan kuah hanya 9minit . Untuk pengukus biasa : Kukus selama 25minit , kuah dan ikan dibalut bersama aluminium foil , didihkan air rebusan stimer selama 4 minit sebelum ikan dikukus .

TIPS......!
1. Anda boleh goreng separuh masak ikan sebelum dikukus jika anda sukakan kegaringan , dengan hanya sedikit minyak.

2. Anda juga boleh stimkan sekali udang bersama ikan , udang adalah perasa kepada kuah yang sangat sedap dan menambahkan lagi selera .

Saturday, August 22, 2015

Blackpepper Chicken



Kalau nak cerita masak blackpepper ni semua orang akan suka kan ? Fuh !! masak apa pun sedap kalau kena dengan selera . Kalau bukan ayam , daging lembu dan kambing pun sedap tau !! Tapi dalam peti ais Adryna masa nak masak blackpepper ni cuma ada ayam . Jadi kalini Adryna share guna ayam dahulu . Mungkin cara Adryna masak ada sedikit kelainan ataupun biasa bagi anda di luar sana yang ingin mencuba tapi rasa tu tetap sedap insyallah .

BAHAN - BAHAN DIPERLUKAN :

** UNTUK AYAM **
300 gm dada ayam – dipotong ikut cita rasa
30 gm kicap pekat manis
30 gm sos tiram
20 gm seasoning oil maggi
20 gm serbuk kunyit
Sedikit Secukup rasa maggi

** UNTUK KUAH BLACKPEPPER **
2 sudu lada hitam yang telah ditumbuk halus
2 sudu sos tiram
2 sudu kecil tepung jagung
2 sudu kecil kicap pekat manis
sedikit air (jika anda mahukan kuah lebih / tidak perlu jika inginkan kepekatan )

** Lain - lain **
Lada benggala ( Jika suka )
cili potong ( Jika suka )
Daun bawang dipotong 1 inc
100 gm bawang besar - dimayang
50 gm bawang merah - dimayang
50 gm bawang putih - dimayang
50 gm halia - dimayang

CARA - CARA MEMASAK :

1. Perap ayam selama 15 minit . ( Lumur hingga rata dengan bahan bahan ayam ) .
2. Kemudian goreng separuh masak dengan sedikit minyak .
3. Tumis bawang merah, bawang putih,bawang besar, halia , cili , lada banggala selama 2 min.
4. Masukkan bahan - bahan kuah blackpapper , gaul sebati .
5. Masukkan ayam dan gaul hingga sekata .
5. Masukkan Daun bawang dan gaul lagi .
6. Jika anda sukakan kuah yang lebih bolehlah tambah sedikit air masak hingga sedikit mendidih , jika anda inginkan kepekatan tidak perlu air pun sudah memadai .

Oleh kerana Adryna telah lumur perapan ayam tadi dengan bahan-bahan yang cukup rasanya jadi semasa memasak tidak perlu letak garam lagi .

Oh ya , nak kongsi sekali 1 bahan yang mungkin berbaloi bagi mereka yang bujang di luar sana jika ingin memasak Blackpepper ni ialah perencah blackpepper jenama maggi . Kalau rasa - rasa nak masak cepat , tak cukup budget nak beli bahan yang banyak beli sahaja perencah maggi ni memang berbaloi dan sedap tau !!


Selamat mencuba semua .

Friday, August 21, 2015

Lemon Chicken


Semenjak Ringgit Malaysia dah jatuh teruk dan semenjak GST diperkenalkan tipulah Adryna kata kita tak terkena tempiasnya di Malaysia kan? Kadang kadang rasa nak makan di luar pun dah berfikir dua tiga kali . Yerlah , kuantiti dan harga dah tak berbaloi sekarang bila makan di restoran , kadang kadang menu yang sedap kita makan di luar apabila kita cuba masak sendiri di rumah lebih sedap berbanding makan di luar dan dikenakan cas yang mahal pula , Adryna teringin sangat nak makan lemon chicken . Apakata kita masak di rumah , jom !

BAHAN - BAHAN DIPERLUKAN :

** UNTUK AYAM **
2 keping dada ayam
2 camca tepung jagung
2 camca tepung gandum
Garam
Lada sulah
Sebiji Telur
Sedikit serbuk Kunyit


** UNTUK KUAH LEMON **
1 camca sos plum
2 camca perahan jus lemon 2 camca cuka
4 camca gula
2 sudu teh tepung jagung
Sedikit serbuk kunyit untuk pewarna kuah
Sedikit secukup rasa maggi
Bawang putih dihiris nipis
Sedikit air


CARA- CARA MENYEDIAKAN :

**UNTUK AYAM**
1. Basuh ayam hgga bersih,ketuk sedikit ayam dgn lesung untuk meleperkannya Panaskan minyak. ( kalau nak goreng secara potongan pun boleh )
2. Campur semua tepung,garam , lada sulah dan sedikit serbuk kunyit .
3. Celupkan ayam dalam tepung, kemudian celup dgn telur dan gorengkan ayam hingga garing dan toskan .

** UNTUK SOS LEMON **
1. Sediakan periuk kecil .
2. Kacaukan sedikit air bersama tepung jagung .
3. Campurkan kesemua bahan ke dalam periuk kecil tadi . Masak dan sentiasa kacau kuah hingga mendidih dalam keadaan api perlahan .
4. Potong ayam dan tuangkan sos di atas ayam , boleh dihidangkan dengan nasi yang panas untuk seisi keluarga .

Monday, August 3, 2015

Udang Goreng Kari & Telur Butter



Salam Syawal Semua , masih mood raya ? Tahun ni Adryna beraya dengan semuanya serba sederhana , alhamdulilah ... Anda pula bagaimana? Resipi kali ni masih bertemakan Udang , sedikit bosan asyik ayam di hari raya jadi Adryna mencuba lagi dengan sesuatu yang mempunyai kelainan . Bahan - bahan juga tidaklah mahal sangat .

" Udang Goreng Kari & Telur Butter "

Bahan - Bahan diperlukan : -

Udang 500gram ( Dibuang kepala dan dibersihkan )
Telur Kuning & Telur putih (2 biji Gred B diasingkan putih telur & kuning Telur)
60gram Butter (Salted)
Bawang besar (1 biji sederhana)
Cili padi (5 biji dihiris nipis)
Sedikit minyak untuk menggoreng
Sedikit Secukup Rasa Maggi
3 Sudu kecil serbuk kari ikan
1 sudu kecil serbuk lada sulah
3 sudu kecil tepung jagung

-----------------------------------------------------

Cara - Cara Memasak :

1. Perapkan Udang yang telah dibersihkan dengan serbuk lada sulah , secukup rasa maggi , tepung jagung dan putih telur yang telah diasing tadi . Gaul rata dan biarkan selama 5 minit .

2. Panaskan minyak , goreng udang yang telah diperap tadi sehingga sedikit kering . Angkat dan toskan .

3. Kuali yang berasingan , panaskan butter . Pukul laju menggunakan garfu Kuning Telur tadi . Kali ini kita perlu menggunakan kedua dua tangan untuk memasak , sebelah tangan untuk penggaul dan sebelah lagi untuk tuangkan telur . Di dalam kuali dengan butter yang panas setelah dicairkan , tuangkan kuning telur tadi perlahan-lahan dengan sedikit jarak tinggi dari kuali pada masa yang sama tangan sebelah lagi kacau dengan laju kuning telur tadi , lakukan proses ini berterusan tanpa henti . Apabila kelihatan sedikit berbuih , tutup api dan toskan telur hingga kering .

3. Biarkan Minyak butter tadi , di kuali yang sama panaskan kuali sekali lagi . Masukkan Bawang besar yang telah dihiris , masukkan cili padi , serbuk kari dan kacau rata , jika anda nak letak daun kari pun boleh untuk menaikkan lagi aroma bau masakan ini .

4. Masukkan telur butter tadi , gaul rata .

5. Disusuli Udang yang telah kita goreng , gaul rata .

6. Apabila rempah , Telur Butter dan Udang telah dicampur sebati dan digaul sebati , campurkan sedikit lagi secukup rasa maggi dan jika inginkan sedikit kuah anda boleh campurkan sedikit air masak bagi sedikit kuah .

7. Udang tersebut akan kelihatan pekat kerana di awal teknik goreng udang yang diperap kita telahpun ada tepung jagung di dalam udang .

8. Apabila sedikit mendidih , angkat dan toskan udang . Udang Goreng Kari & Telur Butter ini amat sesuai dimakan dengan nasi panas seisi keluarga
Selamat mencuba semua .

Friday, July 24, 2015

Udang Masak Telur Masin



Udang yang ditempah khas dah sampai , tambah - tambah lagi segar dari seberang perkara wajib bila dapat udang ni memanglah nak tunaikan hajat yang dah lama terpendam di hati untuk masak "Udang Masak Telur Masin" tambahan lagi sekarang musim semua kita kena berjimat cermat sebab kalau makan di luar dengan menu masakkan ni memang mahal . Jom kita mula masak yuk! Masak sendiri lebih sedap tau !

Bahan - Bahan diperlukan :

300gram Udang
1 biji Telur
4 sudu besar tepung jagung
2 tangkai daun kari
2 sudu besar butter
Cili padi - dihiris nipis
Segelas air masak
2 sudu kecil gula
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam
2 ulas Bawang putih
2 biji Telur Masin (Telur itik - direbus dan diambil kuning telur sahaja )
1 ketul Kiub Ayam

-------------------------------------------------------------------------
Cara - Cara Memasak :

1. Bersihkan udang gaulkan dengan sedikit garam, asingkan kuning putih telur dan pukul laju guna garfu putih telur tadi .
2. Celupkan udang dengan putih telur disusuli dengan tepung jagung , hingga selesai semua udang .
3. Panaskan minyak , Goreng udang hingga garing dan toskan .
4. Kuali Berasingan , panaskan butter hingga cair .
5. Masukkan Daun Kari , cili padi yang dihiris , gaul rata .
6. Apabila naik bau , masukkan kuning telur masin tadi gaul rata .
7. Kemudian Masukkan air , kiub ayam , gula dan secubit garam , serbuk lada hitam dan gaul lagi rata .
8. Apabila kelihatan sedikit berbuih , taburkan udang yang digoreng tadi , gaul sehingga sebati dengan kuah . Angkat dan toskan .

Tuesday, May 12, 2015

Cheesy Grill Potato Chip



Bahan - bahan :

Mozzarella Cheese Slice
Potato Chip ( yang belum masak , boleh didapati di pasaran )
1 biji telur
1 tsp lada sulah
1 slice daging turkey yg telah dipotong nipis
Salad
Lemon juice
Olive Oil

____________________________________________________
Cara - Cara Memasak :
1. Panaskan Oven selama 15 minit .
2. Pecahkan telur di atas mangkuk .
3. Susun potato chip di atas telur .
4. Susun turkey slice di atas potato chip tadi secara rawak .
5. Akhir sekali taburkan Mozzarella Cheese disusuli lada sulah .
6. Bakar selama 10 - 12 minit ke dalam ketuhar .
7. Sementara menunggu siap , potong sayur salad tadi gaulkan dengan olive oil dan perahan lemon juice .
8. Apabila siap , hiaskan salad di atas potato chip yang telah dibakar tadi .

Mudah kan? hanya memerlukan 20 minit untuk breakfast anda . Selamat mencuba semua .

Thursday, April 30, 2015

Ayam Goreng Kuah 5 Rempah



Resipi ayam goreng kuah 5 rempah ini perlukan sedikit ilmu mengenai ayam goreng yang telah diperap rapi semalaman untuk mendapat testure rasa yang lebih ayam dan rempah dalam ayam tersebut . Ia mungkin kelihatan lebih complicated tetapi sebenarnya sangat mudah dan sedap di makan , sekali lagi saya dapat memasak resipi ini dengan tanpa garam dan tanpa santan . Rasanya memang seolah olah rendang , gambarnya pula seperti ala ala masak kicap tetapi ianya bukan masak kicap . Uniknya di sini saya rasa itu seumpama lengkap dengan rempah ayam goreng yang sedia ada , kombinasi ini sangat menarik hati saya untuk berkarya dan untuk berkongsi resipi ini bersama anda semua .

BAHAN - BAHAN :
Ayam yang telah dipotong dadu dan diperap semalaman
Rempah 5 ( boleh didapati di pasaraya berdekatan berwarna sedikit coklet gelap )
2 sudu Gula
Secubit secukup rasa Maggi
1 sudu kecil rempah rendang
1 sudu kecil rempah kari
2 sudu lada kisar
2 sudu kerisik
1 tangkai daun kari (dibersihkan daunnya )
Bawang merah (ditumbuk halus)
Bawang putih (ditumbuk halus)
Halia (ditumbuk halus)
Serai
1 gelas air asam jawa ( diasingkan dari biji )
Minyak untuk memasak
--------------------------------------------------

BAHAN - BAHAN PERAPAN AYAM

Ayam
3 sudu kecil serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk kari
1 sudu kecil secukup rasa maggi / garam
Halia (ditumbuk halus )
bawang merah (ditumbuk halus )
bawang putih (ditumbuk halus )
Asam Jawa

* Gaul dan urut ayam bersama sama kesemua bahan di atas , biar sama rata jangan letak air dan biar ianya semulajadi bersama rempah rempah di atas , biarkan semalaman di dalam peti air *

___________________________________________________

CARA - CARA MEMASAK : -

1. Goreng ayam yang telah diperap , api biar perlahan apabila sedikit garing dan kelihatan warna seakan akan hitam pekat angkat ayam dan toskan.
2. Di kuali yg baru , panaskan sedikit minyak kemudian masukkan bawang dan halia yg telah ditumbuk halus , goreng hinga naik bau dan kekuningan.
3. Masukkan rempah 5 , rempah rendang , rempah kari disusuli lada kisar , gaul rata masak hingga pecah minyak .
4. Apabila pes tadi pecah minyak , masukkan ayam yang telah digoreng tadi , gaul rata .
5. Curahkan air asam jawa , kemudian serai sedikit sahaja secukup rasa maggi dan gula , gaul rata . 6. Apabila sedikit kering , taburkan kerisik dan daun kari , gaul lagi . 7. Masak kesemua ramuan ini sehingga pecah minyak , TIPS : "senang jer macam mana nak tengok masakan kita dah pecah minyak sebenarnya , bila nampak minyak dah timbul dan seolah olah berbuih banyak itu maknanya dah pecah minyak Adryna belajar tips ni pun dari ibu " Masakan ini akan kelihatan sedikit hitam kerana rempah ayam goreng juga meresap ke dalam kuah .

SELAMAT MENCUBA SEMUA



Hidangan Ayam Goreng kuah 5 rempah ini juga sesuai dihidangkan bersama roti paratha